Wednesday 4 March 2015

Bab 4






‘Mean, awak tengah buat apa tu?’ lantas Ainina menghantar pesanan ringkas buat Muhaimin.
‘Tengah buat tugasan.’ Balas Muhaimin.
‘Ina mengganggulah ni ye?’ Seperti yang dijangka Ainina, itu mungkin yang akan Muhaimin katakan.
‘Ina nanti kita sms ye lepas Mean siapkan tugasan ni’  begitulah selalu jawapan yang akan Ainina terima. Dikala itu Ainina teringatkan Muhaimin, dia merindukan Muhaimin. Namun Muhaimin seolah-olah tidak memahami. Dia tahu Muhaimin sibuk, tapi dia cuma perlukan 5 minit masa daripada Muhaimin untuk bertanya khabar. Itu terlalu sukar untuk Muhaimin lakukan.

            Ainina menanti dengan penuh sabar Muhaimin menghubunginya kembali, akhirnya Muhaimin menghantar sms tapi sayangnya ketika itu Ainina telah pun lena diuliti mimpi. Begitulah seterusnya kehidupan Ainina yang semakin lama terasa sepi dan semakin menghimpit hatinya. Muhaimin makin membiarkannya sepi kini membuat Ainina merasakan bukan sahaja jarak antara mereka yang jauh, malah juga hati mereka juga terasa makin menjauh. Saban waktu Ainina mengharapkan perubahan daripada Muhaimin, namun semuanya hampa. Muhaimin terlalu jauh dengan dunianya kini. Ainina makin terasa terpinggir, Muhaimin tidak memahaminya yang memerlukan perhatian darinya. Tiada tempat lagi untuk Ainina meluahkan rasa hatinya. Lalu dibukanya beg sandangnya. Dicapai buku yang selama ini menjadi teman yang setianya, dibukanya lembaran baru. Dicapainya pula pen yang di atas meja, Lalu diluahkan semuanya yang terbuku di dada. Diluahkan rasa yang semakin menghimpit di jiwanya.

Diwaktu hening ini teringat aku akan dirimu. Wajahmu bermain di mataku. Wajah yang sentiasa aku harapkan ada sinar kemesraan. Wajah yang sering aku dambakan secebis kasih. Wajah sering aku tagih perhatian. Jiwaku semakin terasa kosong. Kita sudah semakin jauh. Kita dipisah jarak dan juga waktu. Kerinduan sering bertandang tika teringatkanmu. Tapi aku makin terasa kehambaran hubungan ini semakin menguasai. Tiada lagi kemesraan. Bagai tiada lagi keikhlasan dihatimu. Bagai tiada lagi aku dihatimu. Sekiranya apa yang kau lakukan hanya kerana terpaksa, khabarkan kepadaku supaya kau tidak lagi terdera, terseksa dengan sikapku. Aku cuma inginkan kau bahagia. Andai diriku tidak lagi membahagiakanmu, rela aku berundur, berkorban demi kebahagiaanmu. Kenangilah diriku yang setia menanti kepulanganmu disisiku. Tika sepi menyelubungi hatiku, rindu semakin menggunung. Tapi sayangnya aku tak tahu bagaimana hendakku hakiskan rasa rindu ini. Jiwaku semakin kosong. Aku terasa seperti dipinggirkan kadangkala hati ini menyeru namamu tika hati ini sarat dengan rindu ingin mendengar suaramu. Tapi sayangnya dirimu sering membeku membiarkan aku yang ketandusan kasih sayang darimu. Disaat aku merindukanmu, dirimu makin jauh. Maaf seandainya dirimu tiada lagi dihatiku suatu hari nanti, kerana aku telah cuba untuk menabur baja kasih tapi dirimu yang menuang racun untuk rumput-rumput yang tumbuh meliar disekeliling pohon cinta. Akhirnya pohon cinta juga turut terkulai layu. Maaf sekiranya rasa sayang serta cinta ini semakin terhakis. Mungkin dirimu silap menafsir diriku. Aku sentiasa rindukanmu. Aku takut rasa rindu ini akan bertukar menjadi benci jika dia terus dibiar sepi. Mungkin telah tiba untuk kita menentukan arah tuju hubungan kita. Salam buatmu yang berada di kejauhan... hidup baik-baik.

‘Mean sayang Ina?’ satu pesanan ringkas buat Muhaimin. Sengaja dia ingin menduga Muhaimin. Dia pasti Muhaimin akan segera menghubunginya. Seperti yang disangkakan, telefonnya berdering. Ainina melihat nama yang tertera ‘~mean~’. Dia tahu persoalan itu akan sentiasa membuat Muhaimin menggelabah. Ainina tahu Muhaimin sangat menyayanginya.
“Ina, kenapa ni?” sayu terdengar suara Muhaimin. Ainina masih merajuk.
“Mean selalu saja lupakan Ina. Kalau Ina tak mesej macam ni, Mean tak akan telefon Ina. Nak Ina merajuk dulu, baru Mean nak telefon Ina. Tak boleh ke kalau Mean telefon Ina tanpa Ina perlu buat macam ni? Susah sangat ke nak telefon Ina?” Marah Ainina. Dia tahu Muhaimin sibuk dengan tugasan-tugasannya tapi rindunya terhadap lelaki itu memaksanya berbuat sedemikian. Dia tahu dia terlalu banyak memaksa Muhaimin mengingatinya. Dia cuma ingin sedikit perhatian darpada Muhaimin. Dia inginkan Muhaimin ambil berat terhadap dirinya. Tapi itu bukan sikap Muhaimin. Kalau dia tak merajuk, Muhaimin tak akan menghubunginya.
“Ina Mean minta maaf sibuk sikit minggu ni, ada dua tugasan yang Mean nak kena siapkan. Esok Mean dah nak kena hantar.” Terang Muhaimin seakan berbisik mungkin tidak mahu mengganggu rakan-rakannya yang lain sedang membuat tugasan.
“Itulah selalu jawapan daripada Mean. Minggu ni sibuk... minggu depan sibuk... minggu-minggu depan sibuk lagi... Ina pun ada jugak tugasan, Ina pun banyak kerja juga sibuk juga... tapi Ina masih lagi sempat ingatkan Mean. Kalau macam ni, Ina tak ada pakwe pun tak apa. Sama je tak ada bezanya pun.” Rajuk Ainina makin menebal.
“Ina jangan macam ni, Mean betul-betul sibuk nanti kita bincang ye...?” Muhaimin masih cuba untuk bertoleransi dengan Ainina.
“Baiklah Mean, buatlah kerja Mean tu. Bye...” Tanpa pamitan salam terus Ainina menamatkan panggilan.

            Muhaimin terlalu jauh dengan dunianya kini. Baru sahaja dua bulan dia berada di Maktab Ainina telahpun diabaikannya. Terasa sebak di dada Ainina, teringat kembali tika Muhaimin melafaskan janjinya suatu ketika dahulu pada ketika dia ingin berangkat ke Kuala Lumpur untuk ke Maktab.
“Ina Mean pergi dulu. Ina jaga diri tau.” Pesan Muhaimin.
“Baiklah Mean, Mean pun sama jaga diri. Jangan lupakan Ina. Sentiasa sms Ina.” Ainina bimbang Muhaimin akan melupakannya.
“Ok Mean akan sentiasa sms Ina walaupun sekeping sehari, call Ina walaupun 5 minit sehari.” Janji Muhaimin.

            Ternyata janjinya hanya tinggal janji. Ainina kini berada jauh darinya. Dia telah berada jauh dengan dunianya. Ainina faham jika Muhaimin mahu menumpukan pada pelajarannya. Tapi perkenalan mereka bermula daripada sejak zaman persekolahan lagi. Malahan keputusan mereka tidaklah seteruk mana. Kini Ainina terasa seolah-olah dia yang tersua-sua dengan Muhaimin. Ainina terasa hubungan mereka semakin lama, semakin hambar. Ainina cuba untuk memahami Muhaimin, namun kesabarannya juga ada batasannya. Teringat ketika di zaman persekolahannya dahulu, bukan sekali dia cuba untuk memutuskan hubungannya dengan Muhaimin. Malah berkali-kali, hanya kerana Muhaimin malu bertemu dengannya. Dia bosan dengan sikap Muhaimin, mahu berkawan dengannya tapi malu. Namun setiap kali dia membuat keputusan pasti dia akan berpatah balik kerana tidak sanggup untuk melukakan hati Muhaimin. Dia juga seringkali cuba untuk melupakan Muhaimin, namun dia tidak sampai hati untuk menyakiti hati lelaki itu. Mungkin Muhaimin lelaki pertama yang menjadi temannya. Mungkin juga kerana sikap Muhaimin yang tenang membuatnya jiwanya yang sentiasa bercelaru itu kembali reda. Ainina sudah berputus asa dengan Muhaimin. Dia rasakan dia bagaikan yang lebih mendesak Muhaimin. Bukannya dari hati Muhaimin sendiri. Ainina tahu sejak awal perkenalannya dengan Muhaimin dahulu banyak yang dia rasakan ada kekurangan daripada perhubungan mereka. Muhaimin tak seperti yang diharapkan. Namun demi menjaga hati Muhaimin dia pendamkan semuanya. 

No comments:

Post a Comment